Adakan inkuiri awam terhadap isu picagari kosong, lupakan kad khas vaksin - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Adakan inkuiri awam terhadap isu picagari kosong, lupakan kad khas vaksin – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan suatu inkuiri awam yang bebas tentang isu pengendalian vaksin.

Beliau berpendapat, insiden suntikan picagari kosong dan penyelewengan vaksin telah menjejaskan kredibiliti sistem vaksinasi nasional.

Katanya, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bahawa mereka yang terlibat akan diberikan vaksin semula adalah respon yang sangat simplistik.

“Kemudian beliau mencadangkan pula bahawa orang ramai yang ragu-ragu sama ada mereka telah divaksin dengan sempurna harus mengambil ujian antibodi untuk memastikan sama ada kita telah mempunyai perlindungan.

“Ini semua adalah sangat tidak munasabah. Siapa yang harus menanggung kos ujian seterusnya ini? Rakyat berhak tahu kedudukan yang sebenar dan kewibawaan sistem kesihatan kita mesti segera dipulihkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyeru agar Dr. Adham melupakan cadangan pengeluaran kad khas pengesahan vaksinasi.

“Ini adalah zaman sijil digital yang boleh diuji kesahihannya melalui jaringan data vaksinasi. Jangan bebankan kerajaan dan rakyat dengan pelbagai kad yang tiada kepentingan langsung.

“Cadangan pengeluaran kad khas adalah pembaziran dana awam. Ia nampaknya bermotifkan perniagaan dan bukan keselamatan ataupun kesihatan.

“Manfaatkan sistem MySejahtera dan mantapkan ia dengan usaha pengesahan vaksinasi antarabangsa dengan perkongsian pangkalan data vaksinasi dengan sistem Imigresen kita,” katanya.

Katanya, pengesahan akan dapat dilakukan dengan semakan data passport oleh pelbagai pengawal sempadan anatarabngsa negara lain bagi tujuan perjalanan antarabangsa.

“Bagi tujuan domestik pula, data MySejahtera juga boleh di kemaskini dalam Mykad bagi tujuan pengesahan. Namun semua ini tidak harus mendiskriminasi mereka yang memilih untuk tidak divaksinasi atau tidak boleh divaksinasi.

“Rakyat bebas untuk hidup dengan pilihan dan kepercayaan mereka. Jangan sesekali sijil digital atau apa kaedah pengesahan vaksinasi menjadi halangan kepada kebebasan hak asasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN