8,167 pesakit Covid-19 terima rawatan di hospital - Utusan Malaysia

8,167 pesakit Covid-19 terima rawatan di hospital

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Seramai 8,167 pesakit Covid-19 dirawat di hospital di Lembah Klang ketika ini dengan kebanyakannya adalah pesakit kategori 3 (radang paru-paru), kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dan kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit kategori 5 di Lembah Klang ialah 826 pesakit atau 10.1 peratus manakala 3,473 pesakit (42.5 peratus) dalam kategori 4.

Menurutnya, sebanyak 2,430 pesakit (29.75 peratus) dalam kategori 3, sejumlah 717 pesakit kategori 2 (8.78 peratus) dan 721 pesakit kategori 1 (8.83 peratus). 

“Kita maklum walaupun pertambahan pesakit kategori 4 setiap hari tidak banyak namun pesakit kategori ini mendapat rawatan di hospital secara purata selama 14 hari manakala pesakit kategori 5 pula duduk di hospital kira-kira 21 hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, penggunaan ubat bagi mencegah radang paru-paru, Baricitinib mungkin memberi harapan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kepada pesakit tenat Covid-19 terutama kategori empat dan lima. 

“Ubat baharu diguna pakai bagi merawat pesakit Covid-19 yang tenat dan dimaklumkan, ia memberi kesan lebih baik. Ini mungkin memberi satu harapan dalam meningkatkan keberkesanan rawatan kepada pesakit tenat terutama pesakit kategori empat dan lima. 

“Kita harapkan dengan ubat baharu ini, keberkesanan tinggi akan lebih baik dan kita boleh merawat pesakit tenat kategori empat dan lima. Semoga mereka pulih dan bertambah baik,” katanya.

Tambah beliau, dengan rawatan yang diberikan termasuk penggunaan ubat baharu, kadar penyembuhan dalam kalangan pesakit positif Covid-19 diharap boleh dipertingkatkan. 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dipetik berkata, hospital di seluruh negara yang merawat pesakit Covid-19 dilapor memberikan ubat bagi mencegah radang paru-paru, Baricitinib bagi mengelakkan peralihan daripada tahap rendah kepada lebih kritikal.

Beliau dilaporkan berkata, mereka akan diberikan ubat berkenaan dalam jumlah di antara dua hingga empat miligram (ml) bagi mencegah risiko pesakit menghidap  radang paru-paru.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya