KANGAR: Seramai 80 kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil kaedah potongan gaji sejak Ogos tahun lalu bagi membolehkan mereka menyertai ibadah korban.
Dengan potongan gaji RM50 sebulan itu, wang yang dikumpul itu mampu membeli 13 ekor lembu dan 17 ekor kambing untuk ibadah korban dan akikah sini semalam.
Selain itu, seekor lembu turut disumbangkan oleh salah seorang pengurusan tertinggi universiti tersebut untuk program berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antabangsa) Unimap, Prof. Dr. Mohd Rizal Arshad berkata, program ibadah korban tersebut adalah amalan tradisi Unimap yang diadakan sejak 2004.
Katanya, sebelum ini, program tersebut dilaksanakan melalui Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin) Unimap manakala kaedah potongan gaji pula sebagai salah satu alternatif bagi membolehkan kakitangan turut terlibat melaksanakan ibadah korban itu
“Program korban berkenaan diadakan di tapak sembelihan swasta, Mata Ayer di sini mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Seramai 80 kakitangan menggunakan kaedah ini (potong gaji) iaitu kira-kira RM50 sebulan sekali gus mendorong mereka dapat melaksanakan ibadah korban tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rizal, pihaknya menggunakan tenaga profesional yang komited setiap tahun bagi melakukan kerja-kerja menyembelih, melapah termasuk mengagih daging korban tersebut dengan kerjasama jabatan serta fakulti-fakulti di universiti berkenaan.
“Bagi tahun ini, ia diagihkan secara bergilir-gilir agar SOP dapat dipatuhi dengan sebaiknya.
“Daging korban tersebut diagih ke beberapa kolej kediaman Unimap bagi pelajar yang tidak pulang ke kampung sempena cuti Aidiladha. Selain itu, ia juga diagihkan kepada para petugas, maahad tahfiz dan golongan asnaf tempatan di kawasan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa ibadah korban dan akikah 2021 Unimap,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pimpin Unimap, Muhamad Adib Hassan berkata, pihaknya menzahirkan rasa syukur di atas penglibatan kakitangan Unimap yang sanggup membuat potongan gaji semata-mata untuk menzahirkan rasa semangat ‘Udhiyyah’.
“Lebih menarik, ada dalam kalangan kakitangan yang konsisten membuat potongan gaji setiap tahun bagi melaksanakan ibadah ini dan seharusnya dapat dijadikan contoh kepada kakitangan dan individu lain.
“Semoga dengan penyertaan ini akan diampunkan dosa dan dimurahkan segala rezeki seperti yang telah disabdakan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana semangat ibadah korban perlu dizahirkan dengan roh untuk sentiasa mendekatkan diri kita dengan Allah SWT,” katanya. -UTUSAN ONLINE