KOTA KINABALU: Jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (PSSC) Parlimen perlu ditambah dengan segera bagi memastikan semua ahli Parlimen terlibat dalam pembuatan dasar.
Keperluan menambah 13 PSSC ini penting bagi melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan.
Cadangan itu dikemukakan oleh 55 ahli Parlimen pembangkang termasuk ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak. Mereka antara 88 ahli Parlimen persendirian mewakili barisan pembangkang dan backbenchers kerajaan yang tidak menganggotai sebarang jawatankuasa Parlimen.
Menerusi zoom meeting tengah hari tadi, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bersama ahli Parlimen lain menggesa untuk mewujudkan 13 PSSC Parlimen bagi memastikan semua kementerian dapat dipantau dengan lebih berkesan.
“Parlimen tidak boleh dianggap sebagai batu loncatan untuk menjadi menteri dan timbalan menteri sahaja. Anggota Parlimen harus diberikan ruang dan peluang untuk melaksanakan peranan mereka dalam memantau kerajaan secara sepenuh masa.

“Sekirannya Parlimen tidak bersidang bagi meluluskan undang-undang dan berdebat mengenai dasar, ahli-ahli Parlimen persendirian ini perlu dibenarkan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan PSSC.
“Setiap jawatankuasa perlu berfokus kepada satu portfolio atau kluster kementerian dan perlu bermesyuarat secara kerap bagi meneliti isu-isu dan mendengar pandangan setiap peringkat masyarakat. Pada masa ini, kita mempunyai 30 portfolio kementerian tetapi hanya ada sembilan PSSC,” katanya.
Tambah Madius, 88 ahli Parlimen tidak mempunyai tanggungjawab eksekutif dalam Dewan Rakyat mahupun jawatankuasa Parlimen.
“Berapa banyak bakat dan kepakaran yang disia-siakan apabila kami tidak diberikan ruang serta peluang untuk berfungsi sepenuhnya. Untuk apa kami dibayar elaun RM 16,000 sebulan tetapi tidak dapat mewakili rakyat dalam penambahbaikan pentadbiran sepanjang tahun.
“Melalui penubuhan 13 PSSC tambahan ini, ia membolehkan kesemua 88 daripada kami diberi peluang untuk menganggotai satu PSSC dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada eksekutif sepanjang tahun,” katanya.

Dalam pada itu, mereka menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meninggalkan mentaliti oligarki kolot dan menerapkan nilai-nilai akauntabiliti, ketelusan serta menerima penyertaan semua ahli Parlimen dalam pemerintahan.
Setiap ahli-ahli Parlimen pembangkang dan backbenchers kerajaan harus dibenarkan menganggotai sekurang-kurangnya satu PSSC agar dapat bersama-sama membantu kementerian untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
Dengan memberikan PSSC kuasa penyiasatan untuk mencadangkan penambahbaikan dasar dan undang-undang, eksekutif tentunya akan dapat melaksanakan dengan lebih baik kuasanya dalam pengawalan dan pengagihan.
Selain Madius, zoom meeting itu turut disertai oleh Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto; Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kiew; dan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.
Antara 55 ahli-ahli Parlimen lain ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.- UTUSAN ONLINE









