5 lagi lokaliti di Sabah kena PKPD - Utusan Malaysia

5 lagi lokaliti di Sabah kena PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lima lokaliti berbeza di sekitar Sabah bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ini antaranya di QL Farm, Membalua, Bahagian Tawau yang merekodkan 13 kes dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut sama dikenakan PKPD sehingga 25 Julai ini ialah di Kampung Pikat, Bongawan, Daerah Papar dengan merekodkan 15 kes selain Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan bahawa hanya satu lokaliti dilanjutkan lagi PKPD iaitu Kampung Jawi-Jawi di Daerah Kota Belud.

“Bagaimanapun, empat lokaliti di negeri tersebut ditamatkan PKPD seperti dijadualkan antaranya Kampung Tuunon, Daerah Penampang serta Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Daerah Kota Belud, Kampung Perpaduan Ria 1, Bahagian Kudat, selain kawasan Bandar Jerantut, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, ujar beliau, enam lagi lokaliti di Kuala Lumpur akan berakhir PKPD lebih awal iaitu di Titiwangsa melibatkan Flat Seksyen 1 dan Seksyen 2, Wangsa Maju serta Kampung Puah selain Flat Desa yang melibatkan Blok Baiduri dan Delima serta Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis Fasa 1 di Sentul.

Susulan perkembangan itu, hanya beberapa lokaliti di ibu negara masih lagi dikenakan PKPD antaranya PPR Sri Semarak dan PPR Kampung Baru Air Panas di Wangsa Maju, Juga Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis Fasa 2, Bandar Baru Sentul, PPR Batu Muda, Taman Ikan Emas, Flat Sri Sabah, PPR Kerinchi, Taman Bukit Angkasa dan Pantai Ria. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN