GEORGETOWN: Seramai 4,718 individu di negeri ini mengambil peluang melakukan saringan Covid-19 secara percuma menerusi program Penang Saring Covid-19 (PSC19) yang dianjurkan kerajaan negeri di lapan lokasi sejak 5 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeeep Singh Deo berkata, daripada jumlah itu seramai 97 dikesan positif pada peringkat awal.
Bagaimanapun ujarnya, ujian lanjut kemudiannya mendapati hanya 23 individu positif Covid-19 dan langkah-langkah pencegahan seterusnya telah diambil mengikut saranan Kementerian Kesihatan.
“PSC19 menerima sambutan yang amat menggalakkan dan program ini masih berlangsung yang mana kita sasarkan 40,000 orang dapat disaring secara keseluruhannya,” katanya selepas meninjau PSC19 di Flat Hamna, Batu Uban, di sini hari ini.
PSC19 yang bermula 5 Julai lalu merupakan inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membendung penularan Covid-19 di dalam komuniti dengan menjalankan ujian saringan percuma secara bersasar di 40 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Jagdeep, kerjasama daripada orang ramai diperlukan untuk menjayakan program saringan bersasar di dalam komuniti itu dengan segera supaya matlamat imuniti kelompok dapat dicapai.
“Semakin banyak saringan dijalankan, semakin banyak kita dapat kurangkan kes positif Covid-19 kerana kita dapat asingkan mereka yang telah dikesan positif,”katanya.
Dalam pada itu katanya, PSC19 akan diteruskan di lima DUN bermula 23 hingga 27 Julai ini iaitu di DUN Penaga; Pinang Tunggal; Paya Terubong; Bukit Tambun dan Tanjong Bungah.
“Penduduk dan individu yang ingin membuat saringan boleh mendaftar untuk sesi saringan di lokasi yang dikehendaki di laman web https://penangsaring.selangkah.my atau melalui pusat khidmat ADUN masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE










