4 kilang punca penularan Covid-19 ditutup - Utusan Malaysia

4 kilang punca penularan Covid-19 ditutup

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, langkah menempatkan pekerja yang kebanyakannya adalah warga asing di kem PLKN di Chenderiang dan Sungkai itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Empat buah kilang dalam Mukim Bidor dan Batang Padang yang menjadi punca penularan kes Covid-19 ditutup manakala pekerjanya ditempatkan di dua buah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, langkah menempatkan pekerja yang kebanyakannya adalah warga asing di kem PLKN di Chenderiang dan Sungkai itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, tindakan itu juga bagi mengelakkan mereka bercampur dengan orang ramai kerana pekerja warga asing itu tidak mendiami asrama sebaliknya tinggal di rumah-rumah di kawasan perumahan yang disewa.

“Kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mukim kerana ia berpunca daripada empat buah kilang di mana pekerja-pekerja kilang tersebut tidak tinggal di asrama.

“Mereka tinggal di beberapa taman yang disewakan, jadi kita tidak boleh buat sekatan seperti kilang mempunyai asrama.

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah pindahkan pekerja-pekerja di dua buah kem PLKN dan tutup kilang terlibat sementara kita melaksanakan saringan besar-besaran kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road, di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil daripada saringan yang dijalankan itu nanti membolehkan pihaknya melaksanakan PKPD secara bersasar melibatkan lokaliti penularan kes.

Katanya, PKPD di dua mukim berkenaan melibatkan kawasan yang luas dengan anggaran sebanyak 22,000 buah rumah.

“Buat masa ini, PKPD dijalankan di dua mukim ini untuk membolehkan kita buat ujian calitan. Setelah ada keputusan dalam sehari dua, kita akan adakan PKPD secara bersasar pula.

“Jadi, bagi peluang kita lakukan saringan dulu untuk kenal pasti kampung mana yang betul-betul kena PKPD. Ini bagi berlaku adil kepada penduduk yang tidak terlibat,” katanya.

Tambah beliau, seperti mana PKPD sebelum ini, bantuan kepada penduduk yang terjejas akan disalurkan melalui peruntukkan sedia ada dan akan ditambah berdasarkan keperluan.

“Dari segi SOP (prosedur operasi standard (SOP) pula masih sama termasuk pergerakan dalam radius 10 kilometer dan hanya seorang dalam sebuah kereta. Itu adalah SOP biasa yang kita kena akur,” katanya.

Mukim Bidor dan Batang Padang dikenakan PKPD berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Julai depan selepas terdapat trend peningkatan kes Covid-19 di mana sebanyak 523 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 3,271 penduduk di lokaliti terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN