PUTRAJAYA: Sejumlah 370 pekerja industri diberi suntikan vaksin Covid-19 pada hari pertama operasi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Ia merupakan sebahagian inisiatif Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diuruskan International SOS (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kapasiti 1,500 pekerja industri boleh diberikan suntikan sehari.
Ketua Operasi Penganjur Rawatan Kesihatan International SOS (Malaysia), Dr. Adrian Seng Fook Wai berkata, PPVIN melaksanakan proses vaksinasi melibatkan pekerja industri dari syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Vaksin Sinovac akan diberikan kepada penerima di PPVIN ini,” katanya.
PPVIN berkenaan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 9 malam turut menyediakan pasukan perubatan serta ambulans.
Di bawah program PIKAS, kerajaan menyediakan vaksin percuma, namun kos pentadbiran vaksin merangkumi penyediaan PPVIN ditanggung majikan.
Majikan juga dilarang memindahkan kos pentadbiran itu kepada pekerja menerusi potongan gaji mereka.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, sebanyak 2,082 syarikat melibatkan pelbagai sektor ekonomi di seluruh negara telah berdaftar untuk mengikuti PIKAS melibatkan seramai 301,050 pekerja.
inisiatif PIKAS merupakan satu kaedah yang akan melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya bagi sektor swasta.
Sebagai permulaan PIKAS menumpukan kepada empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor kerana terdapat aktiviti ekonomi yang pesat khususnya dalam sektor perkilangan dan pembuatan.
Kerajaan menyambut baik kesediaan sektor swasta untuk terlibat sama menjayakan PICK bagi membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti berkelompok kerana golongan pekerja dalam sektor swasta merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.- UTUSAN ONLINE










