PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima lebih daripada 300,000 permohonan Bakul Prihatin Negara (BPN) sejak dilancarkan 15 Julai lalu sehingga hari ini.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, maklum balas diterima daripada penerima sangat positif yang menyifatkannya sebagai ‘bantuan kecemasan’ kerana sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan mereka hadapi ketika ini.
Dalam hal itu, pihak kementerian tidak akan berkompromi dari aspek harga dan nilaian barangan bakul makanan seperti mana dipersetujui antara kementerian dengan pihak penyumbang iaitu RM50 bagi satu bakul makanan.
“Segalanya dilaksanakan secara tertib dan teratur berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Proses penghantaran BPN pula dilaksanakan Sukarelawan Skuad Prihatin Negara yang bertugas secara sukarela.
“Justeru, Kementerian berpandangan kemunculan tohmahan dan dakwaan yang dibuat segelintir individu terhadap BPN cukup mengecewakan dan tidak berasas sama sekali,” katanya hari ini.
Kementerian itu menambah, mana-mana pihak tidak boleh sekali-kali bertindak menafikan hak rakyat yang sedang memerlukan bantuan di saat sukar ini.
Bahkan, Kementerian sentiasa berfikiran terbuka menerima sebarang idea penambahbaikkan dan pada masa sama, jangan sekali-kali membuat tuduhan melulu.
“Kami berada di sini untuk menjaga rakyat. Kementerian juga menyediakan talian tambahan untuk memperkasakan sistem penyampainya.
“Sebagai sebuah Kementerian yang cakna terhadap masalah rakyat pada masa ini, usaha murni ini akan diteruskan dan menyeru rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat di 108 daerah di seluruh negara, Talian Kasih di talian 15999, Media Sosial Rasmi (Facebook/Instagram KPWKM dan JKM) atau menghubungi pemimpin tempatan di kawasan masing-masing,” katanya.
Pelaksanaan BPN dilancarkan Perdana Menteri pada 15 Julai lalu merupakan tindak balas proaktif kerajaan terhadap senario dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 disebabkan terputus bekalan makanan.
BPN merupakan nilai tambah kepada inisiatif Bantuan Bakul Makanan yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini di bawah pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Bantuan berkenaan telah memberi manfaat kepada seramai 9.2 juta rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Program tersebut dilaksanakan secara kerjasama pintar berkonsepkan Whole of Society antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat dan Sukarelawan Skuad Prihatin Negara.
Peruntukan yang diperoleh BPN adalah daripada syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat korporat seperti PETRONAS, AEON, Pharmaniaga, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia serta Yayasan Sime Darby.- UTUSAN ONLINE