PUTRAJAYA: Projek perintis Program PRIHATIN Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar sudah bermula pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kementerian Kewangan berkata, PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta itu adalah di bawah pakej PEMERKASA, bagi membantu meringankan kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.
Menurutnya, program bantuan barangan dapur itu disalurkan secara tanpa tunai menerusi penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.
“Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Kewangan berkata, program PRIHATIN Kasih itu melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.
Jelasnya, fasa selanjutnya akan dilancarkan di negeri Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu pada bulan depan manakala Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak pula pada September dan Oktober nanti.
Ujarnya, penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program itu, beserta tarikh dan masa bagi sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Program MyKasih ini merupakan pelengkap kepada Program Bakul Makanan yang diumumkan di bawah pelbagai pakej-pakej bantuan termasuk Pakej PERMAI iaitu Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta.
“Di bawah Pakej PEMULIH pula ialah Program Bakul Makanan nasional di mana RM80 juta diperuntukkan, dengan agihan RM300,000 bagi setiap ahli Parlimen, termasuk dari parti pembangkang,” katanya.
Kementerian itu turut menjelaskan, peruntukan itu sudah disalurkan kepada semua ahli Parlimen bermula 1 Julai lalu.
“Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan. Baki selebihnya adalah untuk pengagihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli.
“Selain itu, rakyat yang memerlukan juga boleh memanfaatkan program agihan makanan yang dikelolakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat; Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Program Gerobok Rezeki),” katanya.
Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/ . UTUSAN ONLINE










