KUALA LUMPUR : Sejumlah 300 ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) akan terlibat dalam program imunisasi berkelompok di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, PPV Axiata Arena Bukit Jalil dan PPV Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) secara berperingkat-peringkat bermula kelmarin.
Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM, Ahmad Hashim berkata hari ini sahaja hampir 30 orang dijangka hadir mengikut masa yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera masing-masing serta jadual yang ditetapkan oleh PPV berkenaan.

FDAM dalam kenyataannya menjelaskan penyertaan dalam program imunisasi berkelompok ini turut dibuka kepada semua penggiat industri serta pasangan suami atau isteri dan anak berusia 18 tahun ke atas yang menetap dan mendaftar di Lembah Klang.
“Kami juga menerima permohonan dari ahli persatuan lain terutama mereka yang sedang membuat persiapan untuk ke lokasi penggambaran seperti kru teknikal dan pelakon. Kami membuka peluang ini kepada mereka serta isteri atau suami dan anak 18 tahun ke atas kerana kalau pengarah saja divaksin tiada maknanya. Kru dan pelakon juga perlu berada di lokasi.
“Kami juga tidak mahu risiko jangkitan berlaku dalam rumah apabila mereka balik dari lokasi penggambaran. FDAM ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana meluluskan permohonan kami untuk mendapatkan vaksinasi berkelompok ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online
Ahmad berkata, menjelang 1 Ogos, FDAM menyasar 100 peratus ahlinya akan menerima jadual vaksinasi masing-masing.- UTUSAN ONLINE










