209 tapak binaan tidak patuh SOP - Fadillah - Utusan Malaysia

209 tapak binaan tidak patuh SOP – Fadillah

Pasukan petugas khas pematuhan SOP sentiasa membuat pemeriksaan di tapak binaan - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya mendedahkan sebanyak 209 tapak binaan di seluruh negara tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menterinya , Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata, ini selepas 5,766 tapak binaan diperiksa bagi tempoh 1 Jun hingga semalam, dengan 4,624 daripadanya didapati tidak beroperasi.

Tambahnya, Sarawak adalah negeri yang mempunyai tapak binaan paling banyak diarahkan tutup iaitu 56, diikuti Selangor (46) dan Kuala Lumpur (18).

“209 tapak binaan dilaporkan tidak patuh SOP seterusnya diarah tutup dan antara sebab penutupan termasuk tiada surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta tiada kebenaran pihak berkuasa tempatan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Setakat ini, sebanyak 933 daripada 1,142 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara mematuhi SOP ditetapkan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata seorang penyelia perlu dilantik bagi memastikan pekerja sentiasa mematuhi SOP selain memastikan kebersihan tapak bina dijaga bukan sahaja untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19, tetapi juga mencegah denggi dan tibi.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kementeriannya menyasarkan untuk mempercepat Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) bagi mengurangkan risiko kes Covid-19 yang kritikal.

Fasa Dua CIVac akan bermula 5 Ogos depan melibatkan 55,000 pekerja binaan di Pulau Pinang dan Johor, manakala pendaftaran untuk program CIVac di Pahang dan Sabah dijadual dibuka masing-masing pada 25 Julai dan 31 Julai ini melibatkan 20,000 pekerja bagi setiap negeri.

CIVac Fasa Satu bermula sejak 1 Julai lepas di Kuala Lumpur dan Selangor dengan jumlah sasaran pemberian vaksin kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan warga asing dan tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya