1,701 majikan didenda RM33 juta langgar akta Imigresen - Utusan Malaysia

1,701 majikan didenda RM33 juta langgar akta Imigresen

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA :  Seramai 1,701 majikan telah didakwa sejak  2019 hingga pertengahan tahun ini melibatkan denda sebanyak RM 33 juta kerana melanggar akta berkaitan di bawah Jabatan Imigresen membabitkan kesalahan Pendatang Izin Tanpa Izin (PATI)

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud menegaskan, PATI dikategorikan sebagai warga negara asing yang berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Selain itu, kata beliau, mereka juga merupakan warga asing yang tinggal melebihi tempoh Pas Lawatan Sosial atau Pas jangka panjang yang diberikan.

“Mereka yang didapati bersalah berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 6(1)(C) dan 15(1)(C) dan akan diusir keluar setelah menjalani hukuman berkenaan.

“Selain itu, mereka juga akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru beliau menasihati  supaya majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja supaya segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini. 

“Setakat 22 Julai lalu, seramai 155,124 orang PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 102,592 orang PATI telah mendaftar dalam program Rekalibrasi Pulang.

“PATI yang telah berdaftar dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin Covid-19 bersama warga asing lain yang tinggal di Malaysia,” ujarnya 

Beliau turut memberi amaran mana-mana individu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal berdepan dengan hukuman berat di bawah akta dan peraturan Imigresen.

Katanya, mereka melindungi PATI adalah satu kesalahan di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000.

Ujarnya, sekiranya individu atau organisasi berkenaan melindungi lebih daripada lima orang PATI, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi  lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali. 

“Sejak tahun 2019 sehingga 2021 seramai 979 orang individu telah dikenakan tindakan kerana melindungi PATI.

“Majikan yang menggaji PATI pula boleh disabitkan dengan kesalahan  di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan 1963 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.

“Jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi  enam kali sebatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya