JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Johor, Zaid Zain, 59, meninggal dunia hari ini, selepas beberapa hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Anak keduanya, Erwin Zaid, 29, memaklumkan Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.50 pagi hari ini.
“Abah memulakan tugas sebagai seorang wartawan kadet Utusan Malaysia pada lewat 1980-an, sebelum berpindah ke biro negeri sebagai Ketua Biro pada 1995.
“Dia kemudian berhenti daripada Utusan Malaysia dan menyertai agensi berita Suara Johor, sebelum menjawat jawatan Pengurus Perhubungan Awam di Kolej Kemahiran Johor (YPJ),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Tambah Erwin, semasa berkhidmat sebagai wartawan, Zaid dikenali dengan pelaporan tentang politik, isu semasa, serta ketenteraan.
“Jasadnya selamat disolatkan di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, di sini sebelum dikebumikan di Pusara An-Nur.
“Abah meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang berusia antara 23 hingga 33 tahun,” ujarnya lanjut. – UTUSAN










