MELAKA: Kegiatan sindiket judi Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2020 dengan nilai maksimum RM40,000 bagi setiap pertaruhan tumpas selepas polis menahan 11 individu, semalam.
Kesemua suspek berusia 19 hingga 69 tahun itu ditahan dalam 11 serbuan berasingan dalam Op Soga VIII sejak 10 Julai lalu di sekitar negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil risikan, kesemua 11 suspek tempatan berjaya ditahan dengan jumlah pertaruhan direkodkan sebanyak RM136,000.
“Sepanjang musim Euro, kita telah menggerakkan Op Soga VIII dan mengenal pasti premis-premis yang menjadi tempat pertaruhan di sekitar Melaka.
“Pasukan daripada JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menyerbu 11 buah premis dan menahan 11 lelaki dipercayai menjalankan sindiket pertaruhan Euro dengan jumlah terkumpul RM136,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak penganjur membuka nilai maksimum bagi setiap pertaruhan mencecah RM40,000.
“Pertaruhan ini dilakukan secara transaksi dalam talian dengan nilai minimum RM100 sehingga had maksimum RM40,000.
“Semua urusan pertaruhan dilakukan menerusi aplikasi WeChat dan WhatsApp,” ujarnya.
Tambahnya, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM582, kad kredit dengan had RM40,000 dan peralatan yang digunakan bagi kegiatan itu.
“Kita menyita empat set komputer, dua set komputer riba, 14 telefon bimbit, empat modem, dua penala (router), 13 kad sim, 10 jadual perlawanan bola sepak Euro 2020 dan 10 helaian kertas catat taruh judi bola sepak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM200,000,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE