Dapat tablet, tiada lagi kongsi gajet - Utusan Malaysia

Dapat tablet, tiada lagi kongsi gajet

SITI Nasriyah Mohd. Anuar (dua dari kanan) menerima sumbangan tablet yang disampaikan oleh Inspektor Al Ikhsan Borhan dari IPD Hilir Perak di Teluk Intan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sumbangan peranti  mudah alih iaitu tablet sumbangan kerajaan negeri di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani menggembirakan murid dari keluarga kurang berkemampuan yang sebelum ini tiada kemudahan itu untuk mengikuti sesi  Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Antara yang menerima sumbangan peranti mudah alih itu ialah, Siti Nasriyah Mohd. Anuar, 11, murid Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia di sini.

Sebelum ini, Siti Nasriyah mengikuti sesi PdPR menggunakan telefon pintar milik ibu bapa dan kakaknya.

Menurutnya, peranti mudah alih yang diterimanya itu baru-baru ini amat membantunya untuk sesi PdPR.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak sekolah yang memberi tablet ini. Sumbangan ini amat bermakna buat saya untuk PdPR, tidak perlu lagi saya meminjam telefon emak, ayah atau kakak.

“Saya berjanji akan manfaatkan sumbangan ini dan akan belajar dengan lebih rajin dan gigih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bapa murid itu, Mohd. Anuar Mat, 40, berkata, sebelum ini anaknya itu terpaksa menggunakan telefonnya setiap kali sesi PdPR.

Katanya, keadaan itu sudah tentu menyebabkan keadaan tidak selesa.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya mahukan anak saya tidak terlepas sesi PdPR, ini zaman digital, cara pembelajaran pun berbeza.

“Sumbangan yang anak saya terima ini amat kami hargai,” katanya.

Siti Nasriyah merupakan antara murid SK Kampung Bahagia yang menerima sumbangan peranti mudah alih itu daripada kerajaan menerusi pihak sekolah.

Pihak sekolah menetap kriteria kepada penerima sumbangan kerajaan negeri  itu antaranya murid dari golongan B40, rajin mengikuti PdPR walaupun terpaksa berkongsi gajet dengan adik-beradik, berdisiplin dalam belajar dan berpotensi ke tahap cemerlang.

Dalam masa sama, pihak sekolah juga sentiasa memantau perkembangan murid-murid yang menerima sumbangan ini dari segi kehadiran dan disiplin melaksanakan latihan yang diberikan oleh guru.

Pihak sekolah berharap sumbangan itu dapat melancarkan proses PdPR murid-murid di rumah seterusnya kejayaan cemerlang diperoleh.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN