10 inisiatif, tiga subjek baharu Tabika Perpaduan 2021-2030 - Utusan Malaysia

10 inisiatif, tiga subjek baharu Tabika Perpaduan 2021-2030

HALIMAH Mohamed Sadique (dua dari kiri) melancarkan Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA :  Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030, yang dibangunkan Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan sebanyak 10 inisiatif baharu ke arah memantapkan lagi peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk kemenjadian murid.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, 10 inisiatif baharu tersebut merangkumi pengenalan tiga mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Rukun Negara, Komunikasi Asas Bahasa Ketiga dan Jom Urus Diri.

Beliau berkata, inisiatif itu turut meliputi pengenalan tujuh buku aktiviti iaitu Buku Pendidikan Rukun Negara, Jom Urus Diri, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Awal, Sains Awal dan Pendidikan Moral.

Menurutnya, inisiatif lain ialah pengenalan modul kursus dan latihan guru Tabika Perpaduan, buku panduan pengajaran tahunan, mingguan dan harian di samping buku pentaksiran harian dan bulanan serta buku pengurusan dan pentadbiran Tabika Perpaduan.

“Inisiatif lain yang turut diberi perhatian adalah dengan memperkenalkan unit naziran Tabika Perpaduan serta usaha memantapkan imej dan identiti Tabika Perpaduan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 secara dalam talian hari ini.

Halimah berkata, Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030 yang dibangunkan adalah berteraskan kepada Kurikulum Standard PraSekolah Kebangsaan (KSPK) yang memberi fokus kepada penghayatan Pendidikan Rukun Negara dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri murid.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan Tabika Perpaduan menjadi institusi prasekolah yang membentuk murid yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, mempunyai semangat cintakan negara dan memiliki akhlak yang mulia,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2021-2030 berteraskan cita-cita dan prinsip Rukun Negara selari dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueperint) Perpaduan Negara 2021-2030.

Katanya lagi, usaha mempertingkatkan kualiti Tabika Perpaduan yang dilaksanakan secara inklusif adalah demi memastikan semua murid berpeluang menerima pendidikan berkualiti dan menepati matlamat penubuhannya sebagai tapak integrasi untuk menyemai dan memupuk semangat perpaduan.

“Pelan ini secara keseluruhannya merangkumi usaha penambahbaikan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran Tabika Perpaduan dan jalinan kerjasama bersama komuniti.

“Kejayaan pelaksanaan pelan ini bukan hanya terletak pada usaha dan peranan kementerian sahaja tetapi ianya memerlukan kerjasama dan komitmen pelbagai pihak khususnya komuniti setempat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN