Zahid, MKT perlu segera umum tarikh pemilihan UMNO - Utusan Malaysia

Zahid, MKT perlu segera umum tarikh pemilihan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu segera mengadakan mesyuarat dan mengumumkan keputusan berhubung pemilihan parti dan menyelesaikan segala isu berbangkit.

Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah berkata, kepemimpinan tertinggi parti perlu memberikan perhatian terhadap isu pentadbiran UMNO seperti status Mesyuarat Perwakilan yang sehingga kini tidak diberikan penjelasan menyeluruh.

Beliau berkata, adalah adil untuk UMNO meminta persidangan Parlimen diadakan, namun, pada masa sama, perlu mengutamakan isu-isu berbangkit dalaman parti termasuklah melibatkan kredibiliti Presiden UMNO yang perlu juga diselesaikan segera.

“Ini bagi membersihkan nama Presiden dan yang paling utama nama baik UMNO. Ini juga perlu diselesaikan segera.

“MKT perlu mesyuarat dan mengumumkan keputusan mereka berkenaan mesyuarat perwakilan dan segala isu berbangkit mengikut segala aturan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kenyataan UMNO melalui Presiden yang menyatakan UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut dianggap boleh mengelirukan rakyat.

Ini kerana, katanya, ayat yang digunakan tidak mencerminkan ayat sebenar yang digunakan melalui titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan tidak ada perkataan 14 hari dititahkan melalui kenyataan rasmi media Istana Negara atau kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Maka, timbul persoalan siapa yang mengeluarkan kenyataan 14 hari tersebut? Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa.

“Maka, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk menetapkan sebarang tarikh bagi memanggil sidang parlimen kecuali Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam, Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana presiden parti dan sekutunya masih meneruskan kerjasama dengan Anwar.

Sementarai itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim turut mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku beliau menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, ahli Parlimen itu memberitahunya beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu kenamaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN