Vaksin: 500,000 peniaga kecil akan dilibatkan dalam MOVAK - Utusan Malaysia

Vaksin: 500,000 peniaga kecil akan dilibatkan dalam MOVAK

ZURAIDAH Kamaruddin (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada seorang warga emas setelah menerima suntikan vaksin sambil diperhatikan oleh Halimah Mohamed Sadique (dua dari kanan) sempena Program MOVAK di PPV Dewan Muafakat Taman Adda di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memastikan lebih 500,000 peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara terlibat dalam program vaksinasi menerusi Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) mulai 6 Julai ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif itu bagi memberikan perlindungan kepada golongan terbabit yang terdedah kepada risiko jangkitan ketika menjalankan perniagaan dan berurusan dengan orang ramai.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menjayakan program berkenaan di seluruh negara. 

“Logistik yang disediakan untuk MOVAK ini akan dilengkapi dengan sistem sokongan yang lengkap mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi program vaksinasi.

“Unit bergerak ini akan pergi kepada peniaga-peniaga kecil di seluruh negara, ia secara tidak langsung akan memberikan keyakinan dan keselamatan untuk mereka meneruskan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Program MOVAK bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda, di sini hari ini.

Zuraida berkata, peniaga kecil yang belum mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mula mendaftar bagi memudahkan proses mendapatkan vaksin kelak. 

MOVAK adalah salah satu usaha kerajaan dalam membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar, sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini.

Inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini bagi memudahkan penduduk yang belum mendaftar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 disebabkan kekangan capaian internet dan ketiadaan telefon pintar.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN