PUTRAJAYA: Tindakan UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk diadakan sidang Parlimen adalah satu keputusan tidak relevan dan dilihat mementingkan diri sendiri sekali gus merugikan parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, sebagaimana diketahui, peraturan Dewan Rakyat menetapkan tempoh notis dikeluarkan adalah selama 28 hari sebelum sidang Parlimen dipanggil.
Beliau berkata, sekiranya UMNO ‘gentleman’, parti itu perlu mengemukakan apakah tindakan seterusnya dan jangkaan yang berlaku jika tuntutan sidang Parlimen dalam tempoh itu tidak dipenuhi kerajaan.
“Adakah UMNO mahu keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau adakah UMNO mahu berada dalam pembangkang untuk cuba menaikkan seseorang menjadi Perdana Menteri, itu pun kita tidak pasti.
“Menuntut sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari adalah pelik dan tidak relevan ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan sudah pasti apa saja tindakan UMNO ketika ini yang menongkah arus memberikan kerugian kepada rakyat dan UMNO sendiri,” katanya di sini semalam.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi UMNO mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.
Kata Ahmad Zahid, sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.
Achmad Dzariean berkata, seandainya UMNO bertindak keluar daripada PN dalam tempoh 14 hari ini, maka kerajaan yang ada sudah pun tidak ada majoriti dan akan menyebabkan Parlimen terbubar seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada masa sama katanya, kenyataan UMNO itu tidak disokong parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC sekali gus menampakkan UMNO bersendirian dalam hal itu.
“Kita tahu UMNO merupakan parti dominan dalam BN, malangnya apabila tak dapat sokongan maka boleh dikatakan UMNO bersendirian dalam hal ini.
“Apa sahaja tindakan UMNO selepas ini jika mereka keluar Kerajaan PN maka ia merupakan tindakan merugikan kerana melihat majoriti menteri yang bekerja dalam pandemik ini semuanya UMNO dan mereka dilihat begitu komited menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Achmad Dzariean berkata, tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh UMNO perlu dipertimbangkan Perdana Menteri kerana ketiadaan jawatan itu sesuatu yang agak pelik memandangkan UMNO mempunyai ahli Parlimen terbanyak.
Katanya, masalah keutamaan hierarki untuk mengisi jawatan itu boleh diberikan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan melantik beliau sebagai Senator memandangkan Presiden sedang berdepan kes di mahkamah. – UTUSAN ONLINE










