PETALING JAYA: UMNO mendakwa berhak untuk mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun parti itu adalah sebahagian daripadanya dan mempunyai pemimpin yang berada dalam Kabinet.
Bagaimanapun, kritikan itu disifatkan sebagai satu tanggungjawab moral bagi memastikan PN dan pemimpin yang berada di dalamnya supaya mengutamakan kepentingan serta kebaikan kepada rakyat.
Kata, Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, walaupun UMNO berada dalam kapal yang sama, namun parti itu tidak sepatutnya menyokong secara semberono terhadap apa sahaja tindakan dan dasar kerajaan PN.
“Setiap kali ada mana-mana pemimpin UMNO mengkritik kerajaan PN, akan ada satu respon wajib yang mesti terbit, ‘mengapa perlu kritik PN? Bukankah UMNO juga dalam kerajaan? Tak ada group WhatsApp ke?’ UMNO tidak boleh bersikap demikian. Kerana, seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit.
“Bukan sekadar menegur, UMNO berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik. Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana-mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah daripada kalangan kita,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook semalam.
Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Johor itu mengingatkan, fokus UMNO adalah rakyat serta negara. Sesiapa sahaja melakukan tindakan yang tidak mendatangkan manfaat kepada negara perlu ditegur, dikritik malah ditentang.
“Rasulullah SAW. mengajar, berkatalah benar sekalipun pahit. Saya melihat konteks berkata benar ini termasuklah menegur dan membetulkan mereka dari kalangan pasukan atau ahli kita sendiri. Sebab itu ia pahit.
“Saya dan pemimpin UMNO lain percaya bahawa tanggungjawab moral ini wujud dan mesti dilaksanakan. UMNO akan terus menegur dan tidak boleh membisu. Semua ini adalah untuk kebaikan bersama,” ujarnya.
Sebelum ini, kepemimpinan UMNO kerap kali mengkritik kerajaan PN serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara pemimpin yang kerap melakukan demikian termasuklah Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.- UTUSAN ONLINE