Tiga beradik antara lima ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Tiga beradik antara lima ditahan edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kegiatan tiga individu terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis di sebuah flat di Jinjang di sini, pada Isnin lalu.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 30 tahun hasil serbuan yang dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 4 petang itu, seorang lelaki berusia 30-an telah ditahan.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut, menemukan dadah jenis kanabis anggaran berat 230 gram yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di sekitar flat itu.

“Penahanannya itu kemudian membawa kepada serbuan di unit lain di flat sama dan menahan dua lagi suspek yang juga adik lelaki itu.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan dadah sama yang dianggarkan seberat 70 gram. Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM750,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, susulan penahanan itu, suspek utama ditahan reman tujuh hari sehingga 13 Jun depan, manakala dua lagi suspek ditahan empat hari sehingga hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Beh berkata, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 48 tahun dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM1,271.

Menurutnya, suspek ditahan di kawasan perkuburan di Sentul di sini kira-kira pukul pada 1.10 tengah hari Ahad lalu ketika disyaki menjalankan aktiviti pengedaran.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Jun.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN