PUTRAJAYA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menegaskan, dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai anggota pasukan itu secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.
Rela dalam kenyataan berkata, perbuatan itu bercanggah dengan Seksyen 6 (1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Menurut Jabatan itu, perkara berkenaan turut dinyatakan di bawah Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 yang menyatakan pendaftaran sebagai anggota Rela perlu memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah.
“Rela maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa.
“Rela tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit,” katanya hari ini.
Isu berkenaan tular dalam media sosial mengenai dakwaan beberapa individu yang maklumat peribadi mereka didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik di dalam sistem MyRELA.
Dalam pada itu, Rela berkata, pihaknya dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan yang mana anggota tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaannya.
Bagaimanapun, katanya, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19.
“Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela.
“Kepada individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan, sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel [email protected] untuk dibatalkan keanggotaannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE