PADANG BESAR: Setiap kali tiba musim durian sekitar Jun hingga Ogos, Kaki Bukit di sini sering kali menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan raja buah tersebut.
Kaki Bukit adalah pekan kecil yang menjadi tumpuan para pelanggan dari dalam serta luar negeri ini bagi mendapatkan durian dan lokasi tersebut turut digelar sebagai ‘lubuk’ buah berkenaan.
Di pekan tersebut juga terdapat seorang peniaga yang menjual buah durian kampung asli dari pokok berusia 130 tahun yang ditanam datuknya.
Malah, kawasan pekan lama tersebut turut mempunyai banyak lagi pokok durian yang berusia ratusan tahun.
Peniaga tersebut, Yeow Thing Thong, 57, berkata, kebanyakan pokok durian di dusun milik bapa saudaranya itu adalah dari jenis durian kampung yang sudah tua dan ditanam oleh datuknya yang sudah meninggal dunia sebelum dia dilahirkan.
Katanya, walaupun sudah tua, pokok-pokok tersebut masih lagi aktif mengeluar hasil iaitu sekitar 100 hingga 200 biji bagi setiap pokok pada setiap kali musim durian.
“Di dusun ini, kita ada 120 pokok dengan lima daripadanya adalah pokok yang berusia lebih 100 tahun, 40 pokok berusia 50 tahun ke atas dan selebihnya pokok-pokok yang baharu seperti durian kahwin dan sebagainya.
“Untuk musim ini, buah yang terhasil dari pokok-pokok tua ini tidak begitu banyak iaitu kira-kira 100 biji bagi setiap pokok. Ramai pelanggan yang suka datang beli di dusun ini kerana mereka teruja tengok pokok durian yang berusia lebih seabad ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini,semalam.
Sementara itu, Thing Thong berkata, walaupun kebanyakan dusun di kawasan sekitar menjual durian pelbagai jenis yang sangat terkenal pada masa ini, namun dusun seluas 1.73 hektar itu masih mengusahakan durian kampung dan durian kahwin sebagai tanaman utama.
Katanya, dia tidak menjual durian tersebut kepada pemborong kerana mahu orang ramai terutama pelanggan setianya dapat menikmati raja buah tersebut pada harga yang berpatutan.
“Kalau jual mahal nanti orang yang tidak ada duit nak makan macam mana. Kita untung kurang pun tidak mengapa, janji orang boleh makan. Sebab itulah saya pilih untuk tidak jual kepada para pemborong.
“Lagipun pasti ada sahaja pelanggan dari seluruh negeri ini yang datang terus ke dusun untuk membeli buah tersebut. Kalau tidak sekatan rentas negeri, ada juga pelanggan dari Kedah dan negeri-negeri lain,” katanya.
Tambahnya, durian kampung itu dijual pada harga kira-kira RM8 hingga RM12 sekilogram manakala durian kahwin pula dijual pada harga RM20 hingga RM22 sekilogram.- UTUSAN ONLINE