KUALA TERENGGANU: Terengganu memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membantu seramai 500 pengusaha cili di negeri ini yang terkesan dengan kejatuhan harga tanaman tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan khas input pertanian itu akan disalurkan secepat mungkin kepada semua penerima menerusi Jabatan Pertanian.
Katanya, pemberian sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat membantu kitaran modal bagi penanaman semula sekali gus memastikan golongan berkenaan bangkit dalam situasi sukar pada masa ini.
“Tinjauan turun padang mendapati pengusaha cili antara yang sangat terkesan kerana kejatuhan mendadak harga cili di pasaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mencecah RM1.50 sekilogram.
“Malah, ada yang membiarkan sahaja cili rosak di kebun kerana ketiadaan pasaran dan sekali gus menyebabkan mereka menanggung kerugian di samping kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan rintihan beberapa pengusaha cili di negeri ini yang rela melepaskan hasil tuaian mereka secara percuma kepada orang ramai berikutan kejatuhan mendadak harga tanaman itu daripada RM6 sekilogram kepada serendah RM1.50 sekilogram.
Masalah yang dikesan berlarutan sejak kira-kira lima bulan lalu menyebabkan rata-rata mereka berputus asa untuk meneruskan tanaman tersebut kerana tidak sanggup berdepan kerugian lebih teruk termasuk tiada pulangan modal.
Sementara itu, seorang pengusaha cili, Mohd. Bukhari Mohd. Noor berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib mereka terutama dalam situasi PKP ketika ini.
“Pemberian bantuan khas ini memberi kelegaan kepada kami dan sedikit sebanyak menaikkan motivasi kami untuk meneruskan aktiviti pertanian,” katanya. -UTUSAN ONLINE









