PONTIAN: Tempoh 14 hari yang diberikan kepada kerajaan supaya memanggil persidangan Parlimen bukan satu ugutan tetapi sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, tidak timbul soal ugutan tetapi hanya ingin memastikan kerajaan memberikan perhatian terhadap titah Seri Paduka sebagaimana dizahirkan pada 16 Jun lalu.
Katanya, kelewatan kerajaan mengambil maklum titah tersebut tentunya boleh menimbulkan wujudnya krisis antara pihak istana dengan pihak eksekutif yang sewajarnya perlu dielakkan daripada berlaku.
“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, adalah sesuatu yang janggal apabila kerajaan gagal memahami hasrat yang dizahirkan oleh pihak istana,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Komuniti di SJK (C) Nan Mah, Pekan Parit Sikom, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Dr. Surinah Asan dan Senator Dewan Negara bagi Orang Asli, Datuk Ab. Isa Hamid.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang memakluman Persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau minggu pertama September.
Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, keputusan sama ada UMNO bersetuju atau sebaliknya dengan jangkaan tarikh itu hanya akan diputuskan pada 6 Julai ini selepas tamat tempoh 14 hari yang diberikan tersebut.
“Setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi oleh UMNO mengenainya dan keputusan akan dibuat bersama pada Mesyuarat Tertinggi (MT) pada tarikh tersebut (6 Julai),” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tempoh 14 hari yang diberikan UMNO sebagai satu ugutan yang tidak kena pada tempat dan akan memakan diri serta menampakkan agenda sebenar di sebalik kegelojohan.
Sementara itu, ujar Ahmad, ketetapan mengenai tempoh 14 hari yang diberikan UMNO merupakan keputusan bersama yang dibuat oleh Biro Politik parti itu yang dianggotai 25 ahli serta bergantung kepada kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Biro Politik UMNO dianggotai oleh 11 jawatankuasa pengurusan parti yang terdiri daripada Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Pemuda, Wanita, Puteri, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Bendahari dan Setiausaha Kerja UMNO, selain tambahan 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,” ujarnya.
Mengenai mesyuarat MT pada 6 Julai ini, Ahmad berkata, ia akan diadakan secara maya jika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 atau diadakan bersemuka sekiranya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – UTUSAN ONLINE