Tawar kerja sambil bantu keperluan harian - Utusan Malaysia

Tawar kerja sambil bantu keperluan harian

MOHAMAD Naja Nafhan Azman (kiri) dan Mohd. Hafiz Ierfan Rosli (kanan) memberikan bantuan keperluan harian kepada seorang penerima di hadapan SMK Sri Tanjung, di Benut, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pandemik Covid-19 yang masih berterusan sehingga hari ini telah membangkitkan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu golongan yang terkesan dengan wabak tersebut.

Tidak hanya memberikan bantuan makanan dan keperluan harian, tiga anak muda yang berganding bahu menghulurkan sumbangan itu turut mengambil langkah yang lebih bermakna apabila menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Mohammad Naja Nafhan Azman, 25, berkata, dia bersama Mohd. Hafiz Ierfan Rosli, 23, dan Azzah Nublah Muhammad Saih, 23, memberi fokus kepada masyarakat yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan dalam tempoh ini.

Dia yang juga Pengarah Urusan Mama Food Resource berkata, syarikatnya telah menawarkan pekerjaan kepada lima individu setakat ini termasuk golongan asnaf di sekitar Rengit dan Benut.

“Seramai tiga orang ibu tunggal dan dua suri rumah telah bekerja di Mama Food Resource di Rengit sebagai pekerja pengeluaran bagi produk Popia Sata Azro, manakala syarikat Burger Bae yang diusahakan Mohd. Hafiz selaku Pengarah Urusan juga bersedia menawarkan peluang sama.

“Kami memahami kesukaran yang dialami orang ramai ketika ini tambahan pula yang berpendapatan cukup-cukup makan sahaja sebelum ini dan kini hilang pula pendapatan, maka, kami akan cuba mencipta peluang kerja sebanyak mungkin kepada golongan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu, mereka yang baru menggerakkan usaha itu sejak empat hari lalu memulakan langkah pertama dengan menyumbangkan burger kepada orang ramai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut.

Tambah Mohamad Naja Nafhan, projek itu turut mendapat tajaan geran sebanyak RM12,000 daripada Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memandangkan dia dan rakannya itu merupakan Duta Jauhar Mahasiswa Harapan Masyarakat bagi tahun 2020 dan 2021.

“Dalam masa yang sama, Mama Food Resource juga bersedia menawarkan peluang menjana pendapatan dengan menjadi ejen pemasaran kepada suri rumah, lepasan pelajar sekolah dan sebagainya yang ingin menambah pendapatan.

“Selain itu, melalui media sosial juga, kami menerima banyak maklum balas dari rakan-rakan sekolah yang ingin menyumbang barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan sebagainya kepada golongan memerlukan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya