JOHOR BAHRU: Seorang penuntut universiti awam, Muhammad Aqib Mohd. Nor Hafiz membuat keputusan tepat menangguhkan pengajian dalam bidang seni bagi menjaga ibunya yang sakit tenat sehingga wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis lalu.
Muhammad Aqib, 19, berkata, dia membuat keputusan sukar tersebut setelah ibunya, Suhana Abd. Wahed, 43, yang menghidap penyakit buah pinggang dan diabetes ditinggalkan bapa tirinya dalam keadaan kesihatan makin memburuk.
Katanya, mereka sekeluarga yang tidak ada hala tuju itu menumpang di rumah bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Kempas dekat sini sejak April lalu bersama nenek, Supiah Salleh, 68, dan dua lagi adiknya termasuk seorang adik tiri.
“Sebagai anak sulung, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian bagi menjaga mak yang sedang sakit tenat secara rela hati ketika bapa tiri mula menghilangkan diri.
“Tahap kesihatan mak semakin menjadi-jadi dan disebabkan diabetes, keadaan kaki semakin memburuk dan perlu jalani pembedahan. Melihatkan keadaannya, saya fikir itulah sahaja masa yang saya ada untuk menjaga dan berbakti kepadanya.
“Saya dan mak masing-masing ada cuba menghubungi bapa tiri saya untuk memberitahu perkembangan kesihatan, namun gagal berbuat demikian apabila mendapati dia telah menyekat nombor telefon kami berdua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Kempas.
Muhammad Aqib memberitahu, dia mahu menguruskan persekolahan adiknya iaitu Anis, 14 dan Mohd. Wafi sebelum meneruskan kembali pengajian bagi semester dua di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, bapa saudara Muhammad Aqib, Kalimajureayon, 46, berkata, arwah ada menghubunginya memberitahu berdepan masalah dengan suaminya dan meminta bantuan kerana dia tidak ada tempat hendak dituju.
Sebagai saudara yang rapat dengannya, Kalimajureayon berkata, dia membenarkan mereka sekeluarga tinggal di rumah PPR Permai itu selain menyediakan makan dan minum setakat yang mampu.
“Segala makan minum dan sewa rumah itu saya bayarkan untuk mereka. Ada juga saya dapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan komuniti flat tersebut untuk keperluan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian ketika mengunjungi keluarga tersebut turut menyampaikan bantuan berupa bakul makanan serta bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.
Dalam lawatan itu, Osman turut meminta wakil Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Johor bagi memikirkan bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga tersebut.- UTUSAN ONLINE