PASIR SALAK: Pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilanjutkan berikutan peningkatan kes harian wabak pandemik dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menggusarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, di sini.
Bagi Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak, Zadhirah Qaisara Haida Zainal, 17, kesukaran mendapatkan capaian internet yang baik memberi masalah kepadanya untuk mengikuti PdPR.
“Saya pelajar luar bandar dan saya rasa ramai tahu kami di kawasan kampung ini rangkaian internet tak berapa bagus, asyik putus-putus.
“Jadi apabila dengar kena PdPR saya termenung sebentar memikirkan bagaimana prosesnya nanti sehingga Julai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Anak kedua daripada lima beradik ini berkata, walaupun dia dan tiga lagi adik-beradiknya mempunyai telefon bimbit setiap seorang mereka masih menghadapi kesukaran mengikuti PdPR.
“Saya sudah penat menghadapi situasi setiap kali kelas sama ada di Google Meet atau Zoom baru masuk kemudian tak sampai berapa minit terkeluar.
“Masuk balik terkeluar semula, semua kerana talian teruk dan tengok-tengok sudah tamat tanpa saya tahu apa yang diajarkan cikgu,” katanya.
Menurutnya, sebagai calon SPM dia perlu memberi perhatian terhadap apa yang diajar oleh gurunya bagi memastikan tidak ketinggalan jauh.
“Saya berharap sangat Menteri Pendidikan membenarkan sekurang-kurangnya calon SPM di luar bandar terutamanya kampung menghadiri kelas di sekolah secara bersemuka.
“Kasihanilah kami yang menghadapi pelbagai masalah, macam saya internet perlahan, ada juga kawan-kawan saya yang tidak ada telefon bimbit mahupun komputer,” katanya.
Menurut Zadhirah, dia juga berhadapan dengan masalah persekitaran apabila belajar di rumah memandangkan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya.
“Apabila dekat rumah gangguan itu banyak, jadi kita tak fokus, macam saya ada adik-adik jadi kadang-kadang perlu uruskan mereka.
“Kawan-kawan saya juga mengadu masalah sama, namun mahu tidak mahu kami terpaksa juga mengharungi cabaran ini walaupun berharap diberikan kebenaran hadir ke sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











