fbpx

Spekulasi pemimpin raih SD cetus kebimbangan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Beberapa pemimpin didakwa terdesak mengumpulkan Perakuan Berkanun ( Statuary Declaration) atau SD bagi meraih sokongan sekali gus mendapat jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pemimpin-pemimpin itu juga mendakwa seolah-olah tindakan mereka sudah diperkenan oleh pihak istana.

“PKR mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan tentang spekulasi yang sedang tersebar bahawa beberapa ahli parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan SD bagi meraih sokongan ahli-ahli Parlimen lain untuk mendapatkan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Parti (PKR) turut difahamkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen ini berbuat demikian dengan dakwaan kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang Di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Fahmi berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan, dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada dalam krisis.

“Parti mengambil pendirian nama Agong tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara kita pada ketika ini.

“Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak oleh rakyat. Tumpuan sekarang harus ke arah memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong menyerahkan dua dokumen penting tentang cara menyelesaikan masalah Covid-19 dan juga cara membangun semula ekonomi dan negara.

Ini merupakan komitmen Anwar bahawa beliau serius, komited, mempunyai agenda yang jelas dan tiada isu peralihan kuasa dibangkitkan ketika pertemuan itu semalam.

Walaupun begitu, pelbagai spekulasi membanjiri ruangan media sosial tanah air walaupun kebanyakan pemimpin terus mengunci mulut selepas pertemuan mereka dengan Seri Paduka.- UTUSAN ONLINE