ALOR SETAR: Kerajaan diminta memberi perhatian terhadap sektor perkhidmatan profesional yang kini tampak ‘terkeluar’ daripada pertimbangan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, golongan tersebut yang antaranya melaksanakan firma guaman, perakaunan dan arkitek dalam skala perusahaan kecil dan sederhana (PKS), turut tidak terlepas daripada terkesan dengan keadaan semasa terutamanya dalam aspek ekonomi.
Tambahnya, perkhidmatan tersebut memiliki rantaian ekonomi tersendiri dengan peraturan dan sekatan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa kini, telah merencatkan sektor berkenaan ke tahap ground zero.
“Justeru Pemuda UMNO Kedah memohon kerajaan menerusi Kementerian Kewangan untuk melaksanakan pakej menyelamatkan sektor ini. Antaranya pelaksanaan program subsidi upah perlulah dibuat berdasarkan nisbah gaji dan bukannya kadar rata seperti dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini.
“Selain itu, berikan juga moratorium menyeluruh bagi profesional dan pekerja industri terlibat untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Subsidi utiliti termasuk sewaan premis, bil elektrik serta internet turut boleh diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memberi kelonggaran kepada golongan berkenaan untuk beroperasi dengan mengutamakan SOP ketat demi kelangsungan ekonomi mereka yang terlibat.
“Selain itu, keutamaan bekalan vaksin kepada mereka turut perlu dipertimbangkan kerana golongan ini juga merupakan petugas barisan depan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sama sekali tidak boleh memperkecilkan golongan tersebut kerana sektor berkenaan melibatkan sekurang-kurangnya 20 peratus sokongan terhadap ‘kek’ ekonomi dan pendapatan negara.
“Ketika ini sudah ada firma-firma berskala PKS yang semakin menguncup malah telah gulung tikar. Jika keadaan ini berlarutan, maka akan ada kumpulan pekerja yang terpaksa dibuang kerja kerana majikan tidak mampu lagi menahan tekanan.
“PKP ‘separuh masak’ ini bukan saja mengganggu rantaian ekonomi industri malah membunuh industri ini secara perlahan. Pemuda UMNO Kedah berpandangan PKP menyeluruh dengan kadar singkat adalah lebih baik berbanding PKP separuh masak yang memakan tempoh lebih lama,” katanya.- UTUSAN ONLINE