KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk melaksanakan program Kupon Makanan yang boleh digunakan untuk membuat pembelian daripada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dan penerima bantuan kewangan melalui Geran Khas Prihatin (GKP).
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Penaja Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, melalui program itu, ia dapat membantu kerajaan mendapatkan maklumat secara meluas tentang kesukaran dihadapi PKS.
“Dalam keadaan sekarang ini, sudah pasti ia dapat membantu para pengusaha bertahan dengan kuasa membeli dapat diteruskan disamping membantu mereka yang terkesan mendapat bantuan makanan.
“Malah, pemegang taruh dalam industri ini seperti pemborong dan pembekal bahan mentah juga bakal mendapat manfaat yang sama.
“Kita perlu meneruskan kesinambungan kitaran dagang atau kitaran ekonomi yang mempunyai kesan besar kepada kebajikan masyarakat setempat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan GKP sebanyak RM1,500 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) kepada PKS dan perusahaan mikro.
Pembayaran itu akan disalurkan melalui dua fasa iaitu RM1,000 pada pertengahan bulan ini dan RM500 akan disalurkan bulan depan.
Ini bagi memastikan kesemua pengusaha dapat memastikan perniagaan dan pengurusan aliran tunai terus berjalan di tengah pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Mengulas lanjut, Mior Nor Haidir bagaimanapun berkata, bantuan tersebut tidak bersifat menyeluruh dan tidak mampu mengelak pertambahan PKS dan pengusaha mikro yang gulung tikar akibat sekatan berkenaan.
“Ia akan mengambil masa berbulan untuk memulihkan perniagaan yang terkesan. Kuasa membeli juga masih rendah terutama kepada peniaga yang menjual barangan mentah.
“Selain itu, peniagan makanan bermasak juga sama akibat ramai pekerja sudah bekerja dari rumah dan memilih untuk memasak sendiri juadah harian,” katanya. -UTUSAN ONLINE