Polis Sabah keluarkan 60 kompaun hari pertama PKP 3.0 - Utusan Malaysia

Polis Sabah keluarkan 60 kompaun hari pertama PKP 3.0

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 60 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, dalam tempoh 24 jam sahaja begitu banyak kompaun dikeluarkan kerana kegagalan orang ramai mematuhi SOP PKP 3.0 semalam.

Beliau tidak menafikan bilangan kenderaan yang memasuki pusat bandar raya agak banyak kerana ia adalah pusat tumpuan ekonomi dan pejabat utama. Jadi, tidak hairan banyak pergerakan keluar dan masuk ke pusat bandar raya.

Bagaimanapun, pergerakan kenderaan di luar daerah Kota Kinabalu seperti dari Kudat ke Tuaran terdapat pengurangan jumlah kenderaan sebanyak 85 peratus dan ini memberi petanda yang baik.

Hazani berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan pematuhan SOP dengan lebih agresif di daerah yang mencatatkan bilangan kes yang tinggi seperti Tawau, Lahad Datu dan Kunak.

“Jika dilihat situasi semasa di Tawau, jangkitan Covid-19 ada dimana-mana sahaja dan keadaan itu membimbangkan kita.

“Untuk itu, saya sekali lagi menggesa rakyat Sabah untuk kekal berdisiplin dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Jangan bersikap sambil lewa dan ego hingga menyebabkan kes Covid-19 di Sabah semakin meningkat,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurutnya, pasukan keselamatan juga akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan sempadan negara dibolosi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jika semasa PKP 1.0 banyak berlaku kemasukan PATI ke Sabah akibat kawalan sempadan yang kurang diberikan perhatian kerana kebanyakan anggota keselamatan terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR).

Pada kali ini, tindakan tegas akan diambil ke atas tekong-tekong yang menjadi dalang kemasukan PATI ke Sabah dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 55 Akta Imigresen 1959/63.- UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN