PM bakal umum satu lagi pakej bantuan ekonomi - Utusan Malaysia

PM bakal umum satu lagi pakej bantuan ekonomi

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif terbaharu itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani kesan pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada banyak pihak.

“Saya yakin Perdana Menteri akan segera membuat pengumuman, mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar.

“(Bagaimanapun) saya tidak mahu mendahului (Perdana Menteri) dengan membuat pengumuman lebih awal,” katanya semasa sesi libat urus secara maya bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) sempena mesyuarat agung tahunan ke-45, semalam.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjawab soalan peserta berhubung perancangan kerajaan untuk membantu pemain industri yang terjejas teruk akibat kemerosotan ekonomi ekoran pandemik.

Kerajaan pada 31 Mei lalu mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ia membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Sejak Covid19 melanda negara, kerajaan melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion.

Sehingga kini, ia memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dari dua juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.

Terdapat lebih dari RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej berkenaan dilengkapi inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×