PKS harap tiada lagi kelewatan bayaran PSU - Utusan Malaysia

PKS harap tiada lagi kelewatan bayaran PSU

FOO NGEE KEE (kiri) dan YAP CHEEN BOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengumuman bantuan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) memberi kelegaan kepada usahawan PKS di Sabah.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Foo Ngee Kee berkata, pakej yang menawarkan RM2 bilion tambahan kepada sektor berkenaan membolehkan usahawan PKS terus bertahan sehingga ekonomi kembali pulih.

Bagaimanapun, bagi lanjutan dua bulan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang melibatkan pembayaran RM600 bagi setiap pekerja untuk semua sektor, beliau berharap ia boleh dibayar mengikut tempoh ditetapkan. 

“Pada masa ini, kita masih berada di Fasa 1 PPN dan tidak pasti bila kita akan beralih kepada Fasa 2 dan Fasa 3. Adakah usahawan PKS perlu menunggu sehingga Fasa 2 diumumkan baru PKS layak membuat tuntutan PSU 4.0?. 

“Saya berharap ada penjelasan lanjut mengenai pembayaran subisidi upah ini. Jika dilihat semasa pembayaran PSU 3.0 juga terdapat kelewatan tuntutan pembayaran iaitu sehingga enam bulan. Situasi itu memaksa majikan mengeluarkan rizab wang tunai yang ada untuk membayar gaji pekerja.

“Justeru itu, kita harap tiada lagi kelewatan bagi pembayaran PSU. Lanjutan PSU itu sesuatu yang baik namun, kita harap ia dapat diagihkan secepat mungkin untuk mengelakkan majikan menghadapi masalah kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ngee Kee berkata, moratorium selama enam bulan tanpa syarat juga akan membantu usahawan PKS yang kini mempunyai rizab kewangan yang terhad.

Beliau turut menyambut baik pemberian bantuan kewangan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 RM1,000 yang akan dibayar sebanyak dua kali iaitu RM500 pada September dan November untuk sejuta usahawan PKS mikro. 

Menurut beliau, sekarang kerajaan membuka pendaftaran baharu GKP 4.0 pada pertengahan Julai. Jika dilihat semasa pemberian bantuan GKP 3.0 pada Jun lalu, ramai usahawan PKS mikro di Sabah tercicir kerana senarai pendaftaran yang diguna pakai adalah senarai pada 28 Februari. 

Kini dengan pendaftaran baharu, usahawan PKS mikro yang tercicir boleh mendaftar untuk mendapatkan bantuan GKP 4.0 ini.

Bantuan kewangan kepada usahawan PKS dan PKS mikro ini akan membolehkan usahawan terus bertahan sehingga ekonomi benar-benar pulih.

Malah katanya, sektor perniagaan tidak akan dapat dipulihkan dengan pantas, ia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih. 

Sementara itu, Presiden Majikan Sabah (SEA), Yap Cheen Boon menyifatkan bantuan yang diberikan menerusi Pemulih tidak menyeluruh khususnya bantuan terhadap peniaga.

Katanya, pembayaran bagi PSU hanya dilakukan semasa Fasa 2 PPN yang langsung tidak diberikan tarikh khusus. Ini akan terus membebankan majikan untuk membayar gaji pekerja sehingga memasuki Fasa 2. 

Tambah Cheen Boon, pemberian moratorium pinjaman kepada syarikat perniagaan sekali lagi memerlukan kelulusan daripada bank jadi, kemungkinan permohonan ditolak tetap ada.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya