HULU TERENGGANU: Pekerja warga Thailand maut diserang seekor gajah yang tiba-tiba ‘naik minyak’ di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Anucha Tangsakun, 38, parah di bahagian perut dan paha akibat terkena tusukan gading haiwan berumur 22 tahun yang dikenali sebagai Tenang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, Tangsakun difahamkan melakukan rutin hariannya untuk membersihkan dan memberi makan Tenang yang dirantai serta ditambat di tiang di kawasan santuari berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Tenang bertindak menyerang penjaganya itu ketika mangsa mahu melepaskan ikatan sebelum membawanya ke sungai.
“Setiap pagi gajah-gajah dibawa ke sungai untuk mandi dan saksi memaklumkan, nampak mangsa pergi ke arah Tenang sebelum dikejutkan dengan suara jeritan Tangsakun.
“Saksi meluru ke arah rakannya dan mendapati Tangsakun sudah tidak bernyawa dengan kesan darah pada belalai Tenang sebelum meminta beberapa pekerja lain segera mengalihkan gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Adli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, katanya, berdasarkan maklum balas dengan kakitangan KECV, emosi gajah itu kurang stabil sejak akhir-akhir ini akibat dicederakan seekor gajah jantan liar kira-kira dua minggu lalu.
Tenang merupakan antara 18 gajah yang ditempatkan di kawasan santuari seluas 256 hektar itu. -UTUSAN ONLINE










