PUTRAJAYA: Perancangan kelestarian dan penyesuaian perubahan iklim tempatan kini didokumentasi dalam dua pelan kebangsaan diterbitkan Kementerian Alam Sekitar dan Air sebagai penyelaras segala perancangan berkaitan alam sekitar dan pengurusan air negara.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, secara dasarnya, setiap inisiatif dalam pelan tersebut merupakan panduan dan rujukan warga kerja kementerian agar sentiasa bersiap siaga ketika mendepani segala cabaran mendatang.
“Penghasilan dua pelan ini turut mencerminkan komitmen daripada pihak kementerian dalam menerajui pengurusan alam sekitar dan air seluruh Malaysia untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap secara maya sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 yang diraikan sejak 1974 dengan tema pada kali ini, Pemulihan Ekosistem.
Ini kemudian disusuli pelancaran Pelan Strategik Kementerian 2020 – 2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia dan Buku Rangka Kerja Adaptasi Perubahan Iklim untuk Sektor Air.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pelan sedekad itu ialah dokumen terperinci dan komprehensif sejajar agenda Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Besarlah harapan saya agar pelan ini dijadikan sumber rujukan pihak berkepentingan yang menyokong inisiatif kementerian dengan hasilnya dirasai anak cucu kita kelak,” tegasnya.
Sementara itu, ujarnya, rangka kerja yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) bakal diguna pakai dalam penyediaan polisi Pelan Adaptasi Nasional.
Ia jelasnya, menggariskan perancangan pengurusan sumber air, perkhidmatan bekalan dan bencana selaras Perjanjian Iklim Paris 2015 dan boleh dimanfaatkan pelbagai pemegang taruh.
Nahrim, kata Tuan Ibrahim, juga sedang membangunkan portal maya Analitik Data Besar mengenai Indeks Adaptasi Malaysia bersama-sama pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
“Ia dijangka berupaya memberi maklumat yang tepat unjuran kesan perubahan hidro iklim dan peningkatan paras laut menjelang tahun 2100 dalam sudut ketersediaan,” tambah beliau.
Bagi meningkatkan kesedaran awam, pihak kementerian dan pelbagai agensi di bawahnya telah menyusun banyak aktiviti yang boleh dirujuk menerusi laman sosial dan sesawangnya.
Kementerian itu katanya, menyeru rakyat agar mengamalkan gaya hidup lestari dan prihatin memelihara khazanah alam yang dianugerahkan Tuhan sebagai tanggungjawab bersama. -UTUSAN ONLINE










