KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai strategi yang lengkap dan jelas bagi mengatasi pandemik Covid-19 di negara ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan pemulihan itu antara lain tidak memberi bantuan secukupnya kepada rakyat dan syarikat-syarikat yang terkesan, jauh sekali untuk memulihkan ekonomi negara.
“Perdana Menteri telah mempersembahkan satu pelan tanpa apa-apa pelan sebenar. Ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan rakyat dari keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah dan gagal mengawal wabak ini.
“Ia bagaikan satu pelan mengaku kalah pada wabak Covid-19. Jika diikuti pelan ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa jika pandemik tidak dapat dikawal adalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.
Semalam, Muhyiddin menggariskan empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara sebagai langkah strategik peralihan kerajaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.
Peralihan setiap fasa akan melibatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial, kebenaran merentas negeri dan pembukaan sidang Parlimen yang dijangka sekitar September dan Oktober ini dengan prosedur operasi standard lebih ketat (SOP).
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir bersama Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir dalam kenyataan berlainan berkata, pembahagian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada empat fasa hanya satu penjemaan semula terhadap pelaksanaan PKP 1.0 sejak tahun lalu.
Shazni mendakwa, fasa-fasa tersebut tidak mempunyai nilai tambah malah prosedur operasi standard (SOP) masih kabur disamping pengecualian kepada sektor ekonomi tidak memberi natijah baik terhadap pengawalan wabak Covid-19.
Katanya lagi, isu kebajikan seperti insentif bagi meringankan beban rakyat langsung tidak diberi perhatian dan perancangan terhadap program vaksinasi juga tidak disebut dengan jelas dalam pelan pemulihan tersebut.
“Pelan ini secara tidak langsung telah membayangi Pelan Pemulihan Ekonomi 6R yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu.
“Pelan ini hanya satu retorik untuk menutup kegagalan dalam mengawal pandemik. Sudah sampai masanya untuk kerajaan memohon maaf dan berundur secara terhormat.
“Kembalikan semula kepimpinan yang mampu menerajui negara keluar daripada wabak dan masalah kemerosotan ekonomi sejak setahun lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE