SHAH ALAM : Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) menyokong penuh usaha kerajaan yang sedang berusaha memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijaga ketika kita sedang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.
Presidennya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan semalam membuktikan komitmen prihatin rakyat menjadi agenda utama pimpinan negara.
“Tiga fokus utama yang dijanjikan iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi tersebut merupakan perkara yang tepat untuk dilakukan.
“Pakej keseluruhan Pemulih ini yang berjumlah RM150 bilion amat perlu dalam keadaan kita ingin menangani pandemik Covid-19 dan seterusnya bergerak ke arah pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Roslan berkata, orang ramai mengetahui bahawa pandemik ini telah menyebabkan ada dalam kalangan rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja, hilang punca pendapatan, tidak dapat menanggung keluarga dan sebagainya.
Katanya lagi, pihaknya juga bimbang terdapat mereka yang bermasalah ini mengambil jalan pintas untuk membunuh diri, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka yang waras.
“Oleh sebab itu, saluran untuk membantu mereka yang terkesan ini mesti terus dilakukan bagi memastikan tahap kesejahteraan rakyat dapat dikawal dan bagi mengelakkan mereka mengalami tekanan jiwa.
“Apa yang menarik, pakej Pemulih ini turut memberikan kelebihan kepada semua lapisan masyarakat, bukan sahaja golongan miskin tegar, B40, tetapi turut melangkui manfaatnya kepada golongan M40 dan T20,” katanya.
Ujarnya lagi, dari aspek bantuan mereka yang berniaga dan terjejas perniagaannya, juga turut disediakan pakej bantuan.
Beliau menambah, sudah tentu ia sesuatu yang dinantikan kerana terdapat golongan yang berniaga ini sedang berdepan dengan masalah.
“Kami percaya melalui Pemulih ini pasti sedikit sebanyak akan meringankan beban rakyat serta akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang diperlukan dalam tempoh yang dirancang.
“Pintar meminta supaya agensi terbabit memastikan pakej Pemulih ini dapat sampai ke sasaran sesegera mungkin. Adalah menjadi tanggungjawab agensi terlibat memastikan ia sampai ke sasaran,” katanya.
Pada masa yang sama, rakyat perlu terus bersabar ketika semua orang sedang mengharungi tempoh sukar ini, kerana tiada formula ajaib yang boleh kita gunakan melainkan kerjasama semua untuk memutuskan rantaian Covid-19 mesti terus dilakukan.- UTUSAN ONLINE