KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyifatkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebagai satu pakej rangsangan menyeluruh yang akan memberi manfaat kepada Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pakej dengan peruntukan RM150 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu amat komprehensif dan pasti akan memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi di Sabah.
“Peruntukan yang merangkumi suntikan fiskal RM10 bilion adalah besar dan inilah yang diperlukan negara sekarang untuk mengatasi impak penutupan kali ketiga seluruh negara akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) bernilai RM4.6 bilion menerusi Pemulih akan melengkapi usaha kerajaan negeri yang memberikan bantuan wang tunai dibawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0.
Bantuan khas ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 11 juta isi rumah, warga emas dan individu bujang dalam kategori B40 dan M40 di negara ini.
Beliau juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memulakan kemudahan perbankan mudah alih di Sabah.
Perkhidmatan yang akan bermula pada Julai ini akan memudahkan penduduk luar bandar mendapat akses perbankan.
Malah, katanya kerajaan juga akan menawarkan dana sebanyak RM18 juta kepada bank tempatan untuk menyediakan kira-kira 30 unit bank bergerak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang meliputi 250 kawasan luar bandar.
Tambah Hajiji, Sabah juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM400 juta untuk meningkatkan bekalan vaksin negara dan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurutnya, pemberian moratorium pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat kepada semua peminjam individu dan pengusaha mikro membuktikan keprihatinan kerajaan kepada keperluan semua rakyatnya.
“Langkah untuk memperbanyakkan elaun mencari pekerjaan kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM300 sangat bermakna kepada graduan yang belum bekerja, pelajar lepasan sekolah dan pekerja tidak formal yang berdaftar dibawah platform MyFuture Jobs,” katanya. -UTUSAN ONLINE