PETALING JAYA: Negeri yang mencatatkan kadar kes rendah dijangka diberi ‘pelepasan’ daripada fasa pertama kawalan pergerakan dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut akan dibuat selepas segala perincian diambil kira termasuk nisbah jangkitan di sesebuah negeri dengan jumlah keseluruhan kes harian seluruh negara.
Katanya, mesyuarat khas telah diadakan setakat ini bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keputusan akan diumumkan nanti.
” Kita sudah teliti perkara ini dengan lebih terperinci. Dulu kita pernah buat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP) malah dulu dalam satu daerah pun ada PKPB. Jadi ini mendatangkan kekeliruan.
“ Jadi kita cadangkan agar nilai (ambang jangkitan) dibuat berdasarkan nasional. Akan tetapi masalahnya selepas itu ada negeri dikenakan PKP walhal kesnya kecil. Justeru semalam kita bincang dan Insya-Allah kita akan perincikan dahulu. Sampai masa kita umum.”.
Beliau menyatakan demikian dalam majlis Ramah Mesra Program Saringan Calon Pelantikan Kontrak Petugas Kesihatan Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata fasa pertama kawalan pergerakan di bawah PPN dilanjutkan kerana kes Covid-19 belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum beralih ke fasa seterusnya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) antara negeri perlu selari dan tidak boleh sewenang-wenangnya merangka peraturan sendiri.
“ Kalau ada beza pun mereka boleh perketat tapi tidak boleh longgar. Sebagai contoh kalau kita kata 10 malam tapi negeri nak ketat sehingga pukul 6 petang itu tidak mengapa.
“ Negeri mesti sama dengan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN). Sabah pun mesti sama dan tak boleh berbeza sedangkan negeri lain ikut SOP,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak empat hospital medan dijangka dibina selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM 20 juta bagi penambahan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan lantikan kontrak.
Katanya, pelantikan tersebut tidak melibatkan perjawatan dan setiap pegawai atau kakitangan serta doktor yang dilantik akan berkhidmat selama setahun di penempatan yang akan ditetapkan kemudian.
” Kita telah menerima 377 permohonan dan hari ini sebanyak 24 pegawai perubatan ; 59 penolong pegawai perubatan; 48 jururawat; 14 pegawai farmasi dan 71 paramedik serta beberapa jawatan lain dilantik.
” Lantikan ini mengikut proses segera dengan lebih cepat iaitu dua minggu. Ini bagi memastikan keperluan diisi termasuk kemudahan hospital medan. Bagaimanapun segala keputusan bagi penambahan atau penempatan hospital medan diputuskan Kementerian Kesihatan. Kita boleh bina empat lagi hospital medan dengan kapasiti antara 50 sehingga 200 katil, “ujarnya.- UTUSAN ONLINE