PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mesej ‘Sila Laporkan Penghasut Antivaksin’ yang disebarkan melalui media sosial didakwa daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani adalah palsu.
Superintenden Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superinteden Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan portal menggunakan pautan https:/ereporting.rmp.gogv.my/register.aspx dikesan menyebarkan mesej berkenaan mendakwa Acryl Sani meminta masyarakat melaporkan penghasut antivaksin melalui laman web berkenaan.
Katanya, portal e-Reporting yang dinyatakan dalam mesej berkenaan adalah perkhidmatan projek rintis oleh PDRM di beberapa lokasi khusus untuk orang awam membuat laporan polis secara atas talian hanya bagi kes-kes yang tidak melibatkan jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak polis.
“PDRM mengesahkan mesej itu adalah palsu. Masyarakat diminta untuk tidak menyebarkan mesej palsu berkenaan dan dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak disahkan.
“Jika timbul sebarang keraguan, pertanyaan boleh disalurkan kepada PDRM melalui Facebook (FB) rasmi PDRM di pautan https://wwwfacebook.com/pdrmsiaofficial/ atau lain-lain media sosial rasmi PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- UTUSAN ONLINE










