IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan pemotongan gaji yang diperolehnya selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19.
Menurut Saarani, pemotongan gaji selama tiga bulan itu juga turut melibatkan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
“Alhamdulillah, hasil keputusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, saya bersama 10 lagi Exco bersetuju untuk sumbangkan gaji masing-masing selama tiga bulan.
“Potongan gaji ini untuk kita sumbangkan kepada tabung bencana Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.
Saarani juga turut mengumumkan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada hari ini meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera bernilai RM19.5 juta.
“Ini adalah bagi menghadapi impak pandemik Covid-19 termasuk penutupan sektor sosial dan ekonomi atau lockdown yang dilaksanakan selama dua minggu sehingga 14 Jun ini.
“Fokus utama PRE ini ialah untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat yang terjejas termasuk keluarga miskin iaitu kalangan B40, gelandangan, penjaja dan peniaga kecil, belia, petani dan operator-operator sektor pelancongan yang terkesan,” katanya.
Saarani turut memaklumkan kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada lapan lagi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi tujuan penyediaan bantuan makanan keperluan kepada golongan yang terjejas sepanjang sekatan pergerakan penuh.
“Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi daerah PDT Manjung dan masing-masing RM200,000 untuk PDT Kerian, Batang Padang, Hilir Perak, Selama, Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Kampar.
“Manakala RM200,000 lagi adalah peruntukan tambahan kepada PDT Hulu Perak,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan penyaluran bantuan sebanyak RM1.2 juta kepada empat PDT yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD iaitu PDT Kinta RM400,000 dan masing-masing RM200,000 untuk PDT Hulu Perak, Larut Matang dan Selama serta Mualim. – UTUSAN ONLINE