MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan membiayai pembedahan pergelangan tangan kiri Ridzuan Abd. Rahim, 26, yang kisah hidupnya menyelongkar tong sampah untuk terus hidup dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Md. Rawi Mahmud berkata, selain membiayai kos pembedahan itu, Ridzuan bersama isterinya, Norhidayah Mad Rabi, 26, serta anak, Nurul Siti Aisah, 5, turut menerima bantuan makanan RM200 setiap bulan.
Di samping itu, katanya lagi, keluarga tersebut turut menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan.
“Melihat kisah hidup mereka sekeluarga, MAIM juga akan menawarkan sebuah rumah tiga bilik di Rumah Pangsa Al-Ehsan untuk mereka diami.
“Jika mereka berasa lebih selesa tinggal di Sungai Udang, MAIM akan membayar sewa dengan peruntukan sebanyak RM400 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Md. Rawi sebelum itu hadir menemui pasangan suami isteri tersebut di rumah ibu Ridzuan di Kampung Permatang, Pulau Gadong dekat sini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Mohd. Asri Abdul.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kisah Ridzuan yang nekad menyelongkar tong sampah untuk mencari apa sahaja barang terpakai yang boleh dijual untuk meneruskan hidup.
Ridzuan yang sebelum ini bekerja di Batu Berendam, berhenti kerja selepas pergelangan tangan kirinya patah akibat terjatuh dari pokok kelapa.
Mengulas lanjut, Md. Rawi berkata, keluarga terbabit akan mula menerima bantuan daripada MAIM dengan kadar segera.
“Apa yang paling penting, pembedahan pergelangan tangan kiri Ridzuan akan dibuat di Hospital Melaka dalam masa terdekat.
“Ini penting kerana apabila pergelangan tangan kirinya pulih, dia sudah boleh bekerja seperti biasa dan tidak lagi menyelongkar sampah menjadi sumber rezeki menyara keluarga mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










