Lima kanak-kanak, remaja dieksploitasi sepasang suami isteri diselamatkan - Utusan Malaysia

Lima kanak-kanak, remaja dieksploitasi sepasang suami isteri diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menyelamatkan lima kanak-kanak serta remaja yang juga anak yatim yang menjadi mangsa eksploitasi tenaga buruh sepasang suami isteri dalam serbuan di Taman Bukit Seputeh dekat sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 4.10 petang itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang daripada mangsa iaitu lelaki berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati pengadu serta 16 kanak-kanak dan remaja dari sebuah rumah anak yatim di Kulim, Kedah dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah rumah di Seputeh untuk melakukan kerja rumah sepanjang hari pada 2017.

Katanya, bagaimanapun, seramai 14 daripada 16 kanak-kanak dan remaja tersebut melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan.

“Pengadu berjaya melarikan diri dari rumah itu kira-kira 10 pagi semalam lalu datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 54 tahun ditahan manakala lima kanak-kanak serta remaja berusia antara lapan hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Anuar, kedua-dua suspek akan dibawa ke Majistret Kuala Lumpur bagi permohonan reman hari ini untuk siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 atas kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.

Ujar beliau, mana-mana badan kebajikan, individu atau pertubuhan diingatkan supaya tidak melakukan eksploitasi terhadap kanak-kanak dalam apa jua cara sekalipun terutama menjalankan aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan hak asasi kanak-kanak.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya