`Lemon' perdaya jurujual ugut sebar video bogel - Utusan Malaysia

`Lemon’ perdaya jurujual ugut sebar video bogel

SUPERINTENDEN HOO CHANG HOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang lelaki kerugian kira-kira RM1,000 selepas diugut untuk disebarkan paparan panggilan video bogelnya oleh seorang wanita yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 5 petang pada 28 Jun lalu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurujual alat ganti kereta berada di rumahnya di Bahau telah berkenalan dengan seorang wanita dari negara China melalui WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai Lemon.

Sebaik sahaja berkenalan, Lemon yang menggunakan nombor talefon 011-29080197 telah mengajak pengadu untuk membuat panggilan video secara bogel. 

“Mangsa hanya berhubung dengan Lemon melalui WhatsApp sahaja sebanyak dua kali pada waktu siang. Lemon berhubung dengan mangsa untuk mengajak membuat panggilan video. 

“Kemudian Lemon telah mengugut mangsa untuk menyebarkan panggilan video bogel ke laman web dan mangsa yang ketakutan telah membuat bayaran secara kaedah Razer Gold di sebuah kedai serbaneka di Seri Mahsan, Bahau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, sebanyak 10 transaksi telah dilakukan oleh mangsa dengan setiap transaksi sebanyak RM 100 namun wanita itu masih meminta wang walaupun bayaran telah dibuat. 

Menurutnya, mangsa yang sudah membayar RM1,000 nekad membuat laporan polis semalam kira-kira pukul 6.12 petang kerana bimbang akan diugut lagi.

“Polis dalam usaha mengesan pemilik nombor telefon serta lokasi nombor telefon yang digunakan oleh suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (KK).

“Kami harap supaya orang ramai tidak sesekali tunduk terhadap permintaan wang dari sindiket ini, jika anda melakukannya, mereka akan terus peras ugut. Walaupun bayaran dibuat dan berjanji tidak akan mengganggu mangsa, namun itu hanya strategi sindiket supaya mangsa membuat bayaran,” katanya lagi- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN