BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) mengesan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) pada ternakan lembu hidup yang diimport dari Thailand menerusi sempadan negeri ini pada April lalu.
Bagaimanapun, Maqis Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, sebanyak 1,434 ekor lembu diimport dari negara jiran itu pada 26 April lalu menjalani tempoh kuarantin seperti ditetapkan sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara.
“Semasa tempoh kuarantin, beberapa sampel telah diambil daripada lembu-lembu itu dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV).
“Hasil ujian makmal serta tanda-tanda klinikal mendapati sebanyak 42 ekor lembu telah didapati positif untuk pengesanan penyakit LSD,” katanya.
Menurut kenyataan itu, setakat ini, terdapat dua premis kuarantin yang dipantau oleh Maqis di negeri Kedah dan Kelantan yang menempatkan ternakan lembu dari Thailand dengan tanda-tanda klinikal penyakit LSD.
“Arahan terkini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah meminta pihak Maqis untuk memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 28 hari untuk memantau lebih rapi ternakan yang diimport dari negara jiran itu,” ujarnya.
Menurutnya, prosedur ujian dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan ruminan negara terjejas.
“Kesemua lembu yang positif penyakit LSD telah ditahan dan dikuarantinkan dengan pemantauan yang rapi,” katanya.
Jelasnya, penyakit LSD adalah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti lembu, kerbau dan haiwan ruminan liar tertentu.
“Punca penyakit LSD adalah disebabkan virus Poxviridae dan disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat.
“Penyakit ini mempengaruhi kesihatan haiwan dan boleh menjejaskan ternakan lembu dalam negara yang mana ia telah menular di Asia sejak tahun 2019.
“Antara negara yang terkesan adalah Bangladesh, India, China dan yang terbaharu, Thailand,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE










