Lelaki mengaku tidak bersalah seret kucing - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku tidak bersalah seret kucing

AZIZUL Salahuddin keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan penganiayaan seekor kucing awal bulan ini. -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing dengan menyeret haiwan itu di atas jalan, awal bulan ini.

Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan iaitu dengan menyeret seekor kucing di atas jalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Attaduri, Langkap pada pukul 6.30 petang, 3 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Kumaresan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Media pada 5 Jun lalu melaporkan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penganiayaan terhadap seekor kucing di mana video dia menunggang motosikal sambil dilihat menyeret haiwan itu tular dalam media sosial.

Difahamkan, lelaki tersebut menangkap kucing itu menggunakan sauk untuk dibuang ke kedai berhampiran namun kaki depan haiwan itu telah terkeluar dari jaring sauk dan menyebabkan ia seolah-olah diseret di atas jalan.

Video tular berdurasi satu minit itu bukan sahaja mendapat kecaman warga maya yang tidak berpuas hati dengan tindakan kejam lelaki terbabit, malah perakam video yang dilihat tidak mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan suspek. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya