Lebih RM200 juta kos pembelian vaksin di Selangor - Utusan Malaysia

Lebih RM200 juta kos pembelian vaksin di Selangor

AMIRUDIN (kiri) memberikan bantuan makanan yang diberikan kepada penduduk di tiga buah taman di daerah Sabak Bernam, Selangor yang dikenakan arahan PKPD sehingga 12 Jun hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembelian vaksin Covid-19 dan mensasarkan sektor ekonomi sebagai kelompok penerima.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan kewangan itu masing-masing melibatkan RM100 juta daripada kerajaan negeri dan selebihnya kira-kira RM120 juta daripada Selgate Corporation dan Selangor Health Care (SelCare).

Menurut beliau, proses pembelian vaksin Covid-19 kini di peringkat akhir dan dijangka dapat diputuskan dalam masa terdekat.

“Dalam perbincangan yang dilakukan, kita menganggarkan lebih sejuta individu akan dapat dibantu bagi mendapatkan vaksin Covid-19. Kita mempunyai jumlah, tetapi perlu menunggu semua urusan selesai sebelum dibincangkan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Kemungkinan pengumuman untuk vaksin akan diumumkan pada Selasa hadapan berhubung aturan dan agihan. Buat masa ini, fasa kedua vaksin adalah warga emas dan individu berisiko, namun, kita mungkin akan memfokuskan sektor ekonomi.

“Keutamaan diberikan kepada sektor ekonomi kerana jika kita tidak melindungi mereka dan membenarkan kilang beroperasi, maka, ia akan menimbulkan masalah di tempat kerja. Apabila sektor ekonomi berjalan, kita dapat mengawal penyakit dan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengadakan lawatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima yang dilaksanakan sehingga 12 Jun hadapan.

Mengulas lanjut mengenai PKPD tersebut, Amirudin berkata, kemungkinan pelaksanaan itu akan tamat lebih awal berbanding yang dijadualkan susulan keadaan terkawal dan semua penduduk telah disaring.

Jelasnya, setakat ini, semua 2,900 penduduk di tiga taman ini telah menjalani saringan, namun, kira-kira 150 individu masih belum menerima keputusan.

“Daripada jumlah penduduk yang disaring, 152 individu disahkan positif yang mana seorang meninggal dunia dan seorang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Berdasarkan rekod, terdapat 70 petugas kesihatan yang tinggal di lokaliti ini dan mereka dihadkan untuk lokaliti ini sahaja dan jika perlu ke hospital, mereka akan menaiki bas disediakan.

“Pelaksanaan PKPD ini berjaya mengesan individu yang positif lebih awal dan dapat mengawal Covid-19 daripada terus merebak. kita mungkin akan menamatkannya lebih awal dan meneruskan dengan PKP penuh, namun semuanya bergantung pada perbincangan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya