KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan bantuan tetap sampai kepada rakyat dalam usaha membantu mereka melalui fasa-fasa kehidupan mencabar akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Dengan kekuatan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), tiada yang tertinggal daripada mendapat bantuan khususnya dalam bentuk bekalan makan harian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan ada keseimbangan antara kehidupan dan nyawa ketika wabak Covid-19 masih berleluasa.
“Katalah kerajaan menggunakan kaedah lockdown penuh, bantuan untuk seluruh rakyat Malaysia memang ada. Bantuan asas tidak akan menjadi masalah dan akan sampai dengan menggunakan khidmat agensi kerajaan yang ada.
“Sejak bermula sekatan pergerakan penuh, saya telah mengarahkan tabung bencana untuk mengenal pasti dan menggerakkan semua kekuatan untuk membantu rakyat yang terkesan.
“Soal mereka yang terkesan tetapi masih tidak mendapat bantuan, ini juga sedang dibincangkan dan memobilisasikan kekuatan APM di seluruh negara termasuk sukarelawan berdaftar yang hari ini berjumlah 2.2 juta orang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kerajaan mengadakan inisiatif dinamakan Dapur Rakyat semasa sekatan pergerakan penuh untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Pengerusi Dewan Pemikir Bersatu Kebangsaan, Muhammad Affendi Mohd. Dilif turut mencadangkan kerajaan agar menggerakkan APM untuk menggalas dan melaksanakan usaha berkenaan.
Mengulas perkara itu, Mohd. Redzuan berkata, ia bukanlah saranan yang baharu kerana ia sudah berada dalam perancangan kerajaan.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan mengambil maklum tentang cadangan Dr. Mahathir dan akan mengadakan mesyuarat jika terdapat keperluan melaksanakannya.
“Kita ada dapur bergerak untuk menggerakkan apa sahaja bantuan di kawasan-kawasan yang mengalami bencana. Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, ada bentuk bantuan dengan menghantar barangan asas seperti kit makanan di kampung-kampung,” katanya. – UTUSAN ONLINE










